3 min read

Tak Dapat Straight A dalam SPM? Baguslah.

Post kali ni mungkin lain sikit daripada biasa, tapi saya harap korang dapat sesuatu.

Keputusan SPM baru saja keluar minggu lepas. Ingat lagi beberapa tahun lepas saya pun ambik result yang sama di MRSM Kota Putra. Pejam celik pejam celik dah hampir 15 tahun ye. Cepat betul masa bergerak.

Balik ke result SPM tadi.

Ada yang rasa dunia sekarang seperti mereka yang punya. Mereka rasa invincible. Ada jugak yang diam, walaupun tak tunjuk sangat perasaan sebenarnya mereka rasa kecewa apabila keputusan yang mereka dapat tak seperti yang diharapkan. Ada jugak yang seperti buat-buat tak kisah, tetapi jauh di lubuk hati mereka tengah sedih.

Kalau korang adalah orang yang berada dalam kumpulan kedua dan ketiga tadi, saya nak korang dengar ni:

Tak apa kalau kau tersadung awal.
Sebabnya ia boleh jadi satu kelebihan.

Apabila benda yang korang rancang tak menjadi, korang dapat sesuatu yang tak ramai orang dapat iaitu... perspektif.


Bila hidup korang tak lurus daripada awal, korang terpaksa bertanya soalan yang lebih penting. Aku tak cakap keputusan yang bagus tu tidak penting.

Benda pelik tentang kejayaan – kalau ia datang terlalu awal.
Dia buat korang play safe.

Kalau korang skor semua A, biasanya laluan korang macam ni:

Straight A → Matrikulasi/Asasi/A-Level → Degree → Kerja → Corporate ladder.

Tak ada yang salah dengan laluan ini. Cuma saya nak korang tahu yang ini bukanlah satu-satunya jalan yang korang ada. Bila result yang korang dapat tak macam yang korang harapkan, korang kena berhenti dan bertanya:

  • Apa sebenarnya aku nak buat dalam hidup?
  • Apa yang aku sanggup usaha dan korbankan?
  • Hidup macamana yang aku nak bina?

Soalan-soalan ni adalah berat.

Kat luar sana berapa ramai orang yang baru sedar nak tanya soalan-soalan ni kepada diri mereka sendiri... apabila mereka sudah pun berumur 30-40 tahun. Dalam kalangan mereka ada yang tengah stuck dengan kerjaya yang mereka bina hampir 20-30 tahun.

Tapi korang? Korang dapat tanya soalan-soalan ini lebih awal.

Dan itu adalah rahmat.


Tapi Macam Mana dengan Kejayaan?

Mungkin kau fikir,

Boleh ke aku berjaya dengan keputusan macam ini?

Berita baik untuk korang: Kejayaan jarang datang dengan keputusan peperiksaan.

Kejayaan dalam hidup datang daripada apa yang korang usahakan selepas zaman persekolahan. Ianya datang dari sama ada korang masih terus belajar walaupun tiada siapa yang paksa. Ia datang dari sama ada korang sanggup untuk bina sesuatu, cuba sesuatu yang baru, gagal dan cuba lagi. Kejayaan datang daripada rasa yang tak pernah mengalah. Ianya datang daripada kemahiran yang sebenar, bukannya daripada soalan atau jawapan yang korang muntahkan semasa peperiksaan sebelum ni.

Nak contoh?

Berapa ramai usahawan kat luar sana yang bermula kecik dah buktikan benda ni.

Ada orang yang mula berniaga burger di tepi jalan dengan bermodal hanya RM2,000. Dia tak terus berjaya. Setiap hari dia belajar cara nak hasilkan produk, rasa yang bagus. Dia terima feedback customer dan apply strategi perniagaan dan pemasaran semua tu. Setiap hari dia belajar sikit demi sedikit.

Lama-kelamaan bisnes dia berkembang. Daripada hanya membuat patty burger sendiri, berkembang menjadi 2-3 gerai hinggalah berjaya mencipta jenama franchise sendiri.

Siapa dia ni? Dato' Haji Ramlee Bin Mokni, pengasas kepada jenama dan produk Ramlee burger. Terbaru hasil jualan syarikat Ramlee tahun ini lebih RM1.2billion. Dan produknya? Berjaya dieksport lebih ke 10-15 buah negara.

Kalaulah dia ambik keputusan untuk berhenti belajar selepas apabila tamat persekolahan, dan berfikir yang dia belum cukup pandai, mungkin sampai sekarang kita semua tak akan pernah dengar jenama daging burger Ramlee ini. Mungkin dia masih lagi bekerja sebagai buruh di siang hari dan menjual burger di malam hari.

Apa yang dia buat?

Dia tak tunggu "cukup layak".
Dia terus belajar, belajar dan terus buat.

Kalau zaman dia yang tiada smart phone, internet dan AI seperti sekarang... Apa alasan korang?

Dua Perkara yang Kau Kena Pegang

1. SPM bukan penentu hidup kau.

Saya tahu bunyinya macam cliché. Tapi saya serius. SPM hanyalah satu checkpoint kecik. Perjalanan korang masih lagi jauh – jauh lebih luas daripada apa yang korang boleh bayangkan sekarang: habis sekolah → sambung degree → panjat corporate ladder.

2. Proses belajar tak habis bila sekolah tamat.

Kalau korang nak bina hidup yang boleh dibanggakan dan korang sendiri rasa bermakna, teruskan belajar. Walaupun dah tiada cikgu yang nak suruh korang belajar. Tiada yang nak periksa dan berikan markah untuk korang selepas exam. Korang sendiri kena pilih untuk terus belajar.

Korang belajar, cuba gagal dan bangkat dan cuba lagi – ketahuilah itulah saat korang betul-betul rasa invincible dan permissionless. Tiada siapa boleh halang apa yang korang nak capai.


Ambillah masa hari ini untuk rasa apa yang korang nak rasa.

Menangis. Senyum. Marah. Apa saja yang korang nak rasa.

Tapi esok, bangun.
Mula jalan balik.

Hidup kau, baru nak bermula.